February 20, 2009

Keinginan Vs Keperluan


Melihat kepada kejernihan air Sungai Papar yang mengalir dari Banjaran Crocker ini sudah cukup untuk menceritakan banyak perkara. Tetapi saya tidak akan menceritakannya di sini. Biarlah cerita itu menjadi eksklusif kepada mereka yang sanggup berjalan kaki beberapa jam. Tetapi anda boleh membayangkan keadaan alam flora dan fauna yang mencipta keadaan ini. Kawasan ini bukanlah asing dnegan aktiviti manusia. Gambar di atas juga menunjukkan bagaimana ladang padi bukit terletak di tepi sungai.
Penduduk di kawasan ini memang menggunakan sumber-sumber alam di persekitaran mereka. Bagaimanapun apa rahsia hubungan harmoni mereka dengan alam semulajadi? Sudah tentu banyak jawapannya, tapi rasanya jawapan kepada persoalan itu boleh dirumuskan kepada kata-kata berikut, "Mereka ambil apa yang diperlukan sahaja".

January 15, 2009

Pengangkutan Siri 2




Percaya atau tidak perahu kecil ini menggunakan mesin 'water pump' untuk memacu lelaki ini ke persekitaran laut yang ingin dikunjungi. Bot ini juga dikenali sebagai pump boat, sebuah alat pengangkutan yang pernah diharamkan penggunaannya satu ketika dahulu (masih lagi diharamkan rasanya) kerana keupayaan boat ini meluncur di kawasan air cetek. Kelebihan bot ini sering digunakan oleh penjenayah (penyeludup dan pengebom ikan) untuk melarikan diri dari pihak berkuasa.
Bagaimanapun di Pulau Banggi, bot ini adalah merupakan satu cara pengangkutan yang penting, bukan sahaja murah dari segi bahan api, tetapi ia juga menjimatkan dari segi penyenggaraan kerana water pump adalah tidak serumit enjin sangkut yang biasa digunakan untuk perahu-perahu kecil dan sederhana. Tambahan pula harga water pump adalah jauh lebih murah daripada enjin sangkut yang paling murah di pasaran.
Kos penyenggaraan yang rendah ini sangat membantu golongan berpendapatan rendah bukan sahaja untuk kemudahan pengangkutan tetapi juga menambahkan peluang mendapat rezeki perikanan. Ini menjadikan pengangkutan ini sangat popular. Jika pemasangan kipas (yang dibuat sendiri) dan kuasa enjin dapat dioptimumkan penggunaannya, bot ini boleh bergerak lebih laju daripada enjin sangkut yang mempunyai keupayaan kebuk yang sama dengan hanya menggunakan 2/5 daripada bahan api.
Satu kekurangan (atau kelebihan?) enjin water pump ialah, bunyi enjin terlalu kuat. Jika sumber bunyinya tidak diketahui oleh seseorang yang pertama kali mendengar bunyi pump boat pasti berfikir ada sebuah motorsikal Harley Davidson yang mengalami kerosakan ekzos sedang dibaiki di bengkel berdekatan. Apapun bunyi yang kuat ini memberi amaran kepada perahu-perahu besar apabila pump boat nak lalu!

December 11, 2008

Pengangkutan Siri 1


Kenderaan pacuan empat roda adalah kaedah pengangkutan yang penting di kawasan luar bandar di Sabah. Bagaimanapun rekabentuk kenderaan ini sebenarnya lebih sesuai untuk mengangkut barang-barang. Namun begitu, bagi masyarakat luar bandar, keselesaan perjalanan adalah perkara kedua. Paling penting ialah mereka sampai ke tempat yang dituju pada kadar yang paling cepat tanpa perlu berjalan kaki.

December 01, 2008

Kualiti seorang penyelidik lapangan











Saya terdengar baru-baru ini E. Hudson, seorang jurugambar National Geographic yang telah melakukan beberapa siri dokumentari di China mengatakan hanya 50% daripada skrip yang telah ditetapkan lebih awal dapat dirakam semasa penggambaran sementara 50% lagi adalah kejadian atau perkara-perkara yang tidak dirancang. Menurut beliau, keupayaan jurugambar untuk mengadun skrip dan kejadian-kejadian diluar perancangan inilah yang menjadikan sesuatu filem dokumentari yang dihasilkan benar-benar memberikan kepuasan.

Pengalaman menjalankan penyelidikan mengenai kesan banjir terhadap kegiatan harian dan ekonomi penduduk di sebuah kampung di pedalaman Sabah. Kami sebenarnya ke kampung ini untuk melihat kesan banjir, tapi tidak sangka pula akan mendapat peluang untuk mengambil gambar-gambar ini. Kenderaan ini berjaya melepasi halangan ini dan saya rasa bertuah kerana hanya pemandu ini yang yakin boleh melakukannya.
E. Hudson berpesan "be adaptable".

November 24, 2008

Namun bahgia belum ku temui....

Nostalgia penyelidikan di Pulau Banggi.

Rumah kediaman sebagai indikator sosioekonomi












Pendapatan isi rumah adalah indikator yang sering digunakan untuk mengukur keadaan sosioekonomi sesebuah unit keluarga. Dapatan daripada ukuran ini kemudiaannya dibandingkan dengan tahap diperingkat unit politik yang lebih luas seperti negeri, negara, negara-negara sedang membangun dan sebagainya.

Soalnya adakah pendapatan memadai untuk menceritakan segala-galanya?

Jika persoalan pembangunan hanya terfokus kepada pembangunan ekonomi, kadar pendapatan agak lengkap untuk menunjukkan tahap sosioekonomi seseorang. Namun begitu, memfokuskan kepada ekonomi semata-mata bermaksud mengabaikan komponen "sosio". Dengan lain perkataan ukuran pendapatan belum memadai untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat.

Sebagai misalannya, dalam kelompok masyarakat yang rata-ratanya berpendapatan rendah, keadaan dan struktur fizikal kediaman mampu menceritakan dengan lebih lengkap keadaan sosioekonomi sesebuah keluarga.

Gambar-gambar di atas mengilustrasikan perkara ini.

November 05, 2008

Projek Penyelidikan di P. Banggi


Mesej ini khusus untuk pelajar-pelajar yang pernah terlibat dalam penyelidikan sosioekonomi di Pulau Banggi pada bulan May 2008. Sukacita saya umumkan bahawa penyelidikan ini telah selesai...selesai dalam ertikata laporan akhir sudah diserahkan dan telah di bentangkan sebanyak tiga kali - sekali di peringkat Jawatankuasa Pengurusan FELCRA dan dua kali di peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).


Kesemua lapan cadangan yang dikemukakan berdasarkan penyelidikan tersebut telah diterima dengan baik oleh pihak berkenaan. Mereka mengucapkan syabas dan tahniah kepada kita semua.


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelajar yang telah terlibat dalam penyelidikan ini. Saya harap pengalaman yang dilalui sepanjang penyelidikan ini membekalkan sedikit input berguna dalam anda menempuh liku-liku kehidupan selepas May 2008. Saya juga mohon maaf diatas segala kelewatan pembayaran elaun dan apa-apa kesilapan dan kesalahan yang tidak sengaja dan disengajakan.


Masih ada beberapa pelajar yang belum menuntut sijil, sila hantarkan alamat supaya usaha mengepos boleh dilakukan dengan segera.


Gambate!!!