January 15, 2009

Pengangkutan Siri 2




Percaya atau tidak perahu kecil ini menggunakan mesin 'water pump' untuk memacu lelaki ini ke persekitaran laut yang ingin dikunjungi. Bot ini juga dikenali sebagai pump boat, sebuah alat pengangkutan yang pernah diharamkan penggunaannya satu ketika dahulu (masih lagi diharamkan rasanya) kerana keupayaan boat ini meluncur di kawasan air cetek. Kelebihan bot ini sering digunakan oleh penjenayah (penyeludup dan pengebom ikan) untuk melarikan diri dari pihak berkuasa.
Bagaimanapun di Pulau Banggi, bot ini adalah merupakan satu cara pengangkutan yang penting, bukan sahaja murah dari segi bahan api, tetapi ia juga menjimatkan dari segi penyenggaraan kerana water pump adalah tidak serumit enjin sangkut yang biasa digunakan untuk perahu-perahu kecil dan sederhana. Tambahan pula harga water pump adalah jauh lebih murah daripada enjin sangkut yang paling murah di pasaran.
Kos penyenggaraan yang rendah ini sangat membantu golongan berpendapatan rendah bukan sahaja untuk kemudahan pengangkutan tetapi juga menambahkan peluang mendapat rezeki perikanan. Ini menjadikan pengangkutan ini sangat popular. Jika pemasangan kipas (yang dibuat sendiri) dan kuasa enjin dapat dioptimumkan penggunaannya, bot ini boleh bergerak lebih laju daripada enjin sangkut yang mempunyai keupayaan kebuk yang sama dengan hanya menggunakan 2/5 daripada bahan api.
Satu kekurangan (atau kelebihan?) enjin water pump ialah, bunyi enjin terlalu kuat. Jika sumber bunyinya tidak diketahui oleh seseorang yang pertama kali mendengar bunyi pump boat pasti berfikir ada sebuah motorsikal Harley Davidson yang mengalami kerosakan ekzos sedang dibaiki di bengkel berdekatan. Apapun bunyi yang kuat ini memberi amaran kepada perahu-perahu besar apabila pump boat nak lalu!