October 03, 2008

Likert Scale untuk Cabaran Berjalan Kaki!!!








Apabila anda mula memikirkan kerja lapangan, anda juga harus bersedia untuk berjalan kaki. Pada umumnya, kerja lapangan yang dilakukan di luar bandar memerlukan lebih banyak berjalan kaki berbanding dengan di bandar. Mengetahui lebih awal tahap cabaran laluan yang bakal dilalui akan membolehkan penyelidik membuat persediaan fizikal, mental dan kelengkapan untuk mengurangkan risiko yang tidak diingini daripada berlaku.




Berikut ialah tahap cabaran ala likert scale yang saya buat berdasarkan sedikit pengalaman berjalan kaki.




Tahap dan Ciri-Ciri


Tahap 0 : Perjalanan yang biasa dilalui seharian seperti ke bilik kuliah, jalanraya, ke supermarket. laluan perjalanan adalah seperti jalanraya, lorong berjalan kaki, kaki lima, koridor, tangga. Kelengkapan? semua boleh termasuk berkaki ayam!


Tahap 1 : Apabila anda ketinggalan bas dan terpaksa berjalan kaki pulang ke kampus/kolej kediaman!


Tahap 2 : Laluan adalah jarang digunakan, mungkin ada sedikit semak samun, lopak air dan lumpur di sana sini. Jika ada jalan raya berdekatan, jalanraya itu mungkin dipanggil jalanraya dua musim. Walau bagaimanapun kemungkinan akan sesat jauh sekali kerana rumah-rumah kediaman masih kerap kelihatan. Kenderaan bermotor agak biasa.


Tahap 3(a): Laluan adalah jarang digunakan. Hampir tiada kenderaan bermotor melalui laluan ini. Jalan balak dan jalan denai bercampuraduk. Setengah laluan telah ditumbuhi dengan rumpai. Rumah kediaman mungkin kelihatan selang sebatu. Mungkin perlu menyeberangi satu atau dua sungai dengan jambatan gantung atau berakit serta perjalanan berbukit bukau. Jika bernasib baik, ada SMS diterima di beberapa lokasi.


Tahap 3 (b): Sama seperti 3 (a) tetapi tahap ini lebih mencabar dengan laluan yang lebih panjang, menyeberang sungai deras tanpa jambatan, ada risiko dihanyutkan air sungai, terdapat gangguan serangga seperti pacat. Pendakian yang agak tinggi. Hampir tiada rumah kediaman dilalui sepanjang perjalanan. Tiada kenderaan bermotor.


Tahap 4 : Laluan berbukit dengan pendakian yang tinggi, mungkin tergelincir beberapa kali. Menyeberang sungai deras adalah rutin perjalanan. Laluan berpacat dengan kadar gigitan 20 bagi setiap 10 inci persegi permukaan kulit. Stokin pacat disyorkan termasuk kepada penduduk tempatan. Ada laluan yang jelas walaupun jarang digunakan tapi lebih baik menggunakan guide tempatan.


Tahap 5 : Laluan yang tidak jelas sama sekali. Lebih sesuai dikatakan laluan berburu. Risiko sesat sangat tinggi kecuali dengan bantuan penduduk tempatan. Banyak turun-naik yang curam dan aktiviti menyeberang sungai. Jika perjalanan agak jauh, peralatan yang akan dibawa termasuk kelengkapan untuk bermalam dihutan seperti khemah, bekalan makanan, ubat-ubatan. Pacat jangan ceritalah....Tahap 5 adalah khas untuk mereka yang mencapai tahap Xtreme Sahaja!


Lebih tinggi daripada Tahap 5 ini akan membawa anda ke Tahap 1 untuk pendakian gunung!

4 comments:

Gippa said...

Dear Paul,
Saya sangat setuju setiap tahap tersebut. Pengalaman berjalan separu sedar atau 'tirodopon' tak tahu masuk di tahap mana. Pengalaman seorang kawan berjalan dari rumah hingga ke hutan yang berdekatan dengan tempatnya, sehingga tak tahu bagaimana untuk kembali ke rumah atau dengan kata lain sesat... masuk tahap mana???? sesat di kawasan tengah payah/bakau sehingga 'saging'(knapsack)yang dipakai diterbalikkan barulah boleh jumpa jalan keluar dalam tahap mana????...tq

Paul Porodong said...

ha-ha nice comment Gippa.

Sesat berdekatan rumah - tahap 2

Laluan berpaya dan sesat - tahap 4

Saya pertama kali dengar saging terpaksa diterbalikkan untuk mencari jalan keluar. Mungkin tujuan praktikal disebalik petua ini ialah supaya orang yang sesat melupakan soal-soal lain (termasuk mencari rezeki) dan menumpukan usaha untuk survival. Ada petua lain untuk survival di hutan?

Anonymous said...

Hai..En Paul...
Nak tanya sikit..tahap dan ciri-ciri ini berdasarkan pengalaman atau ada sumber lain yang boleh dirujuk?.

Anonymous said...

Pengalaman sendiri sahaja yang sangat terhad. Tujuan murninya ialah untuk memberikan peringatan kepada bakal-bakal penyeldik di lapangan supaya mereka tahu persediaan yang patut dibuat. Paul