October 17, 2008

"Objektif" dalam penyelidikan.

Ada dua makna istilah "objektif" di dalam aktiviti penyelidikan.

Pertama: "Objektif" merujuk kepada sikap penyelidik dalam melakukan penyelidikan khususnya di dalam soal seperti pemilihan kata-kata untuk temubual, pemilihan responden, membuat penilaian, melakukan evaluasi, dan penulisan perbincangan. Sikap ini merujuk kepada keupayaan pengkaji untuk mengenepikan nilai-nilai etnocentrik, bias, prejudis dan generalisasi dalam menjalankan penyelidikan. Di dalam penulisan hasil penyelidikan misalnya, pengkaji yang objektif adalah pengkaji yang dapat melaporkan sesuatu penemuan berdasarkan data yang diperolehi dan berdasarkan kefahaman yang jitu terhadap sesuatu perkara tanpa dipengaruhi oleh faktor-faktor yang tidak bersifat akademik.

Kedua: "Objektif" merujuk kepada "objektif kajian". Objektif kajian merujuk kepada sasaran sesuatu kajian itu dilakukan. Apa yang ingin dicapai oleh kajian itu? Perkara ini kelihatan remeh tetapi cuba perhatikan beberapa sampel objektif kajian berikut yang pernah bertandang ke meja saya dalam bentuk proposal penyelidikan;

Objektif kajian

1. Mengkaji....di...xxxx
2. Menulis sebuah latihan ilmiah...
3. Melihat....upacara...xxx
4. Mencari....
5. Meninjau...

Kenapa permulaan-permulaan ayat ini bukan suatu objektif kajian? Kita lihat satu persatu.

"Mengkaji" adalah bukan objektif kajian. Tapi sebab aktiviti "mengkaji" itu dibuat adalah objektif kajian yang sebenar. Begitu juga dengan "melihat", "mencari" dan "meninjau". Semua ini bukan objektif kajian. Tetapi tujuan pengkaji melihat, mencari dan meninjau adalah objektif kajian. Misalnya mencari maklumat tentang demografi penduduk adalah bukan suatu objektif tetapi apa yang pengkaji akan lakukan dengan maklumat demografi penduduk selepas diperolehi adalah objektif kajian. Perkataan-perkataan ini adalah proses ke arah mencapai sesuatu objektif penyelidikan. Meninjau adalah satu proses untuk memahami keadaan sesuatu kawasan atau isu. Oleh itu objektif "meninjau" adalah untuk "memahami" dan "mengetahui" keadaan sesuatu. Objektif kajian adalah hasil daripada proses dan bukan proses itu sendiri.

Apabila anda keluar rumah untuk ke pasaraya, objektif anda adalah untuk sampai ke pasaraya. Proses anda ke sana samada secara berjalan kaki, berlari, menaiki bas, teksi dan sebagainya adalah proses. Sudah pasti berjalan kaki ke pasaraya adalah bukan objektif anda melainkan anda menggunakan pasaraya itu sebagai sasaran untuk tujuan anda bersenam dengan berjalan kaki. Dalam kes ini, objektif anda ke pasaraya ialah berjalan kaki atau bersenam.

Menulis latihan ilmiah/tesis adalah jelas sekali bukan objektif kajian.

No comments: