October 03, 2008

Ekonomi Moral atau Ekonomi Politik? : Kajian Kes Di Kg. Luanti, Ranau





Pada tahun 1998, saya berpeluang untuk menjadi pembantu penyelidik kepada Mr Heiko Schultz dan Dr. Suriani Suratman dalam salah satu penyelidikan mereka di Kg. Bavanggazo, Kudat Sabah. Penyelidikan ini bertajuk Community Enterprises in the Tourist Sector: the Case Study of Kg. Bavanggazo. Pada hari ini, Kg. Bavanggazo terkenal sebagi Pusat Pelancongan yang menawarkan pakej penginapan di dalam rumah panjang suku kaum Rungus.





Pada masa penyelidikan itu dibuat, penglibatan penduduk tempatan dalam aktiviti pelancongan itu baru berusia 6 tahun (bermula pada 1992). Kajian mendapati, penduduk tempatan masih dalam proses menyesuaikan peranan sosial mereka dalam usaha menyerap unsur-unsur kapitalisme dalam perhitungan kehidupan harian mereka. Penulisan lanjut mengenai penyeldikan itu boleh dibaca dalam buku Heiko Schulze and Suriani Suratman, 1999 terbitan Universiti Malaysia Sabah. Kajian ini merupakan antara literatur asas setiap kali penyelidikan mengenai pelancongan dan kaum Rungus menjadi fokus.





Pengalaman saya bermalam di Kg Luanti Ranau baru-baru ini menggamit kenangan menjadi pembantu penyelidik 10 tahun sebelumnya.





Kg. Luanti terletak 15 Km dari Pekan Ranau dan hanya 0.5 km dari simpang masuk ke Sabah Meh. Sebuah perkampungan Orang Dusun, lebih kurang 75% penduduknya beragama Islam dan selebihnya Kristian. Kegiatan ekonomi utama ialah pertanian terutama sekali buah-buahan dan ramai juga yang bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta.





Namun aktiviti ekonomi terbaru yang sedang rancak di kampung ini datang daripada Sungai Moroli yang mengalir di tengah-tengah kampung. Sejak enam tahun yang lalu, penduduk kampung mengambil keputusan untuk menagal (maksudnya: melarang pengambilan sebarang hidupan air dengan menggunakan penguatkuasaan adat tempatan sekiranya tidak dipatuhi. Biasanya larangan ini dilonggarkan selama sehari sahaja dalam setahun. Pada waktu inilah seluruh penduduk akan 'menuai' hasil ikan yang boleh mencecah ratusan kilogram). Uniknya tagal di sini ialah, selepas menyedari potensi pelancongan sungai dan ikan, penduduk kampung telah bersepakat untuk bukan sahaja membiarkan hidupan air membesar di sungai itu, tetapi juga bertindak lebih jauh dengan menjinakkan hidupan air terutama ikan Pelian atau Kelah. Umum mengetahui bahawa ikan ini adalah liar dan sukar diternak di tempat terkawal seperti kolam dan akuarium.





Pada hari ini, ikan kelah ini boleh dibelai seperti kucing peliharaan. Pelancong dikenakan bayaran RM 3.00 untuk masuk ke kawasan sungai dan bayaran tambahan RM10.00 untuk mandi bersama ikan ini selama 30 minit. Terdapat juga penginapan (RM60.00 semalam) yang dibuat daripada bahan-bahan tradisional dengan kemudahan asas yang mencukupi. Pengunjung juga boleh mandi di luar kawan lubuk ikan secara percuma.





Persoalan akademik yang menuntut penyelidikan lebih lanjut khususnya dari kalangan pelajar Sosiologi Luar Bandar, Pelancongan, Sosiologi Alam Sekitar, Pembangunan dan Ekologi Manusia sudah tentu banyak.





Namun persoalan asas di sini ialah bagaimanakah proses perubahan ekonomi ini membawa impak kepada kekuatan atau solidarity masyarakat di sini. Dalam keadaan yang biasa, pengaruh ekonomi pasaran akan menyebabkan masyarakat bersikap individualistik dan mula membelakangkan komuniti - apa yang dikatakan oleh Durkheim sebagai peralihan daripada mechanical solidarity kepada organic solidarity. Fenomena perubahan seperti ini adalah biasa berlaku.





Namun dalam kes Kg. Luanti keadaan yang unik berlaku. Untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam ekonomi pasaran (sektor pelancongan), anggota-anggota masyarakat mereka harus mengukuhkan kekuatan masyarakat mereka kerana hanya melalu kerjasama seluruh masyarakat yang akan membolehkan sumber sungai (yang merupakan milik komuniti) akan terpelihara. Bayangkan jika ada seorang individu bertindak sendirian untuk mengeksploitasi sumber sungai itu?





Jika apa yang dipaparkan di sini terbukti benar, penyelidik bakal menemukan proses sosial yang unik dalam melihat kesan pasaran terhadap masyarakat dan bagaimana masyarakat tempatan mengadaptasi amalan tradisional dalam menghadapi era komersialisasi.



Sebagai makluman, sudah ada beberapa penyelidikan pernah dibuat di kampung ini termasuk UMS. Penyelidik perlu menyiasat perkara ini terlebih dahulu sebelum memulakan penulisan cadangan penyelidikan. Jika isu yang dipaparkan di sini belum ditulis, penyeldikan anda bakal menjadi rujukan akademik untuk kawasan ini pada masa-masa akan datang.

artikel dari laman-laman berikut boleh di baca mengenai tagal di Kg. Luanti

http://thestar.com.my/lifestyle/story.asp?file=/2007/5/19/lifefocus/17628259&sec=lifefocus

9 comments:

Anonymous said...

he.. saya difahamkan dalam sistem tagal ni.. penduduk kampung akan 'bergotong-royong' untuk menuai hasil dari sungai yang di tagal.. ini dilakukan empat tahun sekali...hasil itu kemudiannya dibahagi-bahagikan...bagaimana sistem pembahagiannya?

Paul Porodong said...

Saya tidak tahu mereka menuai hasil ikan empat tahun sekali. Saya ingat setiap tahun atau mengikut persetujuan penduduk kampung. Adalah menarik untukmelihat variasi ini jika berlaku. Saya juga masih kurang jelas tentang bagaimana pembahagian hasil tangkapan. Adakah perkeluarga atau mengikut saiz keluarga? Adakah faktor tempat tinggal individu dia ambil kira...misalnya mereka yang tinggal/kerja di bandar tapi pulang atau kebetulan pulang pada hari menuai? Bagaimana dengan pelancong? Apa pula hak individu yang pernah didapati melanggar tagal itu...jika ada?

Anonymous said...

lagi..en ..untuk membesarkan ikan tidak perlu 4 tahun pun boleh..tapi sekurang-kurangnya 2 tahun dan bergantung kepada persetujuan penduduk kampung... ada lagi pembahagian hasil tuaian bergantung kepada yuran penagalan yang dibayar oleh penduduk kampung.. he hukuman juga dikenakan seekor kerbau kepada mereka yang melanggar... hehe tapi mungkin setiap kawasan yang berbeza peraturan sistem tagal yang dilaksanakan mungkin juga berbeza.....yuran macammana ya?

Paul Porodong said...

Ada yuran pula tu. Siapa ada pengalaman bayar yuran? bagaimana yuran ni boleh menentukan tempoh tagal pula? Kalau yuran rendah tempoh tagal pendedk dan yuran mahal tempoh tagal panjang atau sebaliknya? Mahal juga dendanya...tidak hairanlah sistem ini berjaya di kawasan yang mengamalkan. Bolehkan kita katakan,kerjasama ini bukanlah semata-mata kepada kekuatan kesatuan masyarakat tetapi juga keupayaan masyarakat menguatkuasakan sistem adat?

Anonymous said...

apa pendapat en dengan tajuk ini--.. 'peranan sistem tagal dalam masyarakat dan kesannya kepada persekitaran' atau..."kesan pengamalan sistem tagal dalam masyarakat dusun" --- scope nya macam luas..hehe

Anonymous said...

jadi kalo masuk tempat pelancongan ni dikenakan yuran kan..so, money tu sapa yang pegang and kawasan ni diusahakan oleh komuniti di kg tersebut jadi hasil pendapatan yg dorang dpt 2 dorg buat untuk apa??

Paul Porodong said...

Peranan tagal dalam masyarakat= boleh dibuat kajian walaupun fokusnya agak sempit. Kajian boleh dilakukan dari aspek kemasyarakatan spt mengukuhkan kesatuan sosial atau dari aspek pengurusan sumber spt menguruskan sumber secara mapan/berkekalan, melindungi/mengekalkan persekitaran.

Kesan kepada persekitaran pula agak teknikal sedikit jika pendekatan sains tulen diinginkan. kesan kepada kualiti air misalnya perlu diukur secara saintifik seperti kadar 'affluent' (salah satu ukuran yang biasa digunakan untuk menentukan kualiti air), kadar pencemaran boleh juga diukur dengan melihat komponen kimia yang tidak diundang dalam air. Pendekatan lain boleh melihat kesan terhadap sikap penduduk terhadap alam sekitar, misalnya bagaimana mereka melakukan kerja-kerja pertanian berhampiran dengan sungai, teknik yang digunakan untuk menangkap ikan (sewaktu musim tagal dan diluar musim tagal).

Kesan tagal kepada masyarakat dusun - terlalu spesifik. Lebih tepat jika kesan amalan ini kepada suatu masyarakat mengikut tempat. Contoh: Kesan tagal terhadap masyarakat : Kajian kes di kalangan masyarakat Dusun di Kg. X.

Kunci kepada tajuk ini ialah penentuan skop penyelidikan.

Paul Porodong said...

Siapa pegang duit? saya dimaklumkan ada jawatan kuasa peringkat kampung yang menguruskan perkara ini (pendapatan dan perbelanjaan). Soal bagaimana pengurusan kewangan ini dibuat saya tidak pasti. Mereka ada pilihan seperti ala perniagaan milik bersama (koperasi), perniagaan milik persendirian - orang lain adalah pekerja, perniagaan melalui pegangan saham etc. Satu lagi topik yang menarik untuk dikaji. Persoalan kajian: Sejauhmana pendapatan/keuntungan yang diperolehi daripada perushaan ini diagihkan kepada semua penduduk yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pemeliharaan sungai. Kedua, bagaimana hasil itu diagihkan.

Anonymous said...

;;;bagaimana pula dengan sempadan sungai tu ya??....lagi...bila sudah sampai tempoh penagalan..penduduk beramai-ramai akan berkumpul (gotong-royong) utk tangkap ikan...macam satu perayaan pula... jadi adalah budaya minum jus beras..hehe